PERKARA 32(1) Perlembagaan Persekutuan telah menyebut pemimpin tertinggi negara adalah Yang di-Pertuan Agong yang disebut sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan. Dalam Perlembagaan, baginda Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya menganggotai tiga institusi kerajaan, iaitu badan eksekutif, perundangan dan juga memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.
Menurut Perkara 39 kuasa eksekutif terletak hak atau dikuasai sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini boleh dilaksana oleh baginda sendiri, atau jemaah menteri atau mana-mana menteri atau mana-mana orang yang dibenarkan oleh Parlimen. Oleh itu, segala urusan negara dilakukan di bawah kuasa baginda, dengan frasa ‘Urusan Seri Paduka Baginda.’ (Shamrahayu Aziz 2014).
Bersandar kepada ketinggian kedudukan Islam sebagai Agama Negara ini, Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah – wallahi; wabillahi; watallahi untuk memelihara agama Islam pada semua masa. Lafaz sumpah ini dilakarkan secara khusus di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
Atas sifat dan kedudukan Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara semua pihak yang ada hubung kait dengan pemerintahan negara ini juga terikat untuk melaksanakan sumpah berkenaan kerana segala urusan pemerintahan dalam Negara ini bersumberkan kepada kuasa eksekutif Baginda sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, berpaksikan kepada kedudukan Islam sebagai agama negara dan komitmen Ketua Utama Negara, segala agenda negara sama ada dalam bentuk dasar mahupun perundangan semestinya berpaksikan kepada prinsip Islam dan tidak boleh sama sekali menyanggahi atau menjejaskan ketinggian dan kedaulatan agama negara (Naser Disa 2011).
Hakikat Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan baginda adalah seorang Melayu yang beragama Islam dan bersumpah akan memelihara Islam pada semua masa cukup jelas menunjukkan identiti dan jati diri negara kita sebagai sebuah negara Islam.
Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)