- Dalam al-Quran, Allah memerintahkan Rasulullah agar memanggil kumpulan yang enggan beriman kepada Allah sebagai kafir. Perkara ini jelas dalam surah al-Kafirun apabila Allah berfirman:
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!” (Surah al-Kafirun: 1)
- Menurut al-Imam Ibn Kathir, ayat ini ditujukan kepada seluruh orang kafir di atas mula bumi ini sekalipun konteks ayat ini ditujukan kepada musyrikin Mekah. Kata Ibn Kathir:
فقوله : ( قل يا أيها الكافرون ) شمل كل كافر على وجه الأرض
“Dan firman Allah (Qul Ya Ayyuhal Kafirun) ini merangkumi seluruh orang kafir di atas muka bumi ini. (Tafsir Ibn Kathir)
- Manakala dalam Surah al-Anfal pula, Allah memerintahkan Rasulullah agar berdakwah kepada orang kafir supaya meninggalkan kekufuran mereka. Dalam konteks ini, Allah menyifatkan mereka dengan sifat kafir sesuai dengan keadaan mereka. Firman Allah:
قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu…” (Surah al-Anfal: 8)
- Dalam erti kata yang lain, selagi mana terdapat ciri-ciri kekufuran yang jelas di dalam seseorang individu itu, maka adalah boleh untuk disifatkan kekufuran itu termasuklah dalam urusan berinteraksi hukum-hakam dengan mereka.
- Perkara ini dapat difahami dari kenyataan Sheikh al-Qardawi sendir ketika memberikan komentar terhadap pandangan Sheikh Mustafa al-Zarqa berhubung status ahli kitab. Kata beliau:
رأيي والله تعالى أعلم، أن جميع من لم يؤمن برسالة محمد صلى الله عليه وسلم فهو كافر بالنظر لأحكام الدنيا، فلا يجوز للمسلمة أن تتزوجه
“Pada pandangan saya wallahua’lam, setiap manusia yang tidak beriman dengan risalah Nabi Muhammad SAW maka dia adalah kafir dari sudut pandang hukum dunia, maka tidak boleh seorang Muslimah itu mengahwininya.”
- Al-Qardawi tetap memanggil kumpulan yang tidak beriman ini sebagai kafir sekalipun ada dalam kalangan kita yang enggan menyifatkan sedemikian. Namun dalam urusan dakwah, keadaannya berbeza.
- Dalam perihal dakwah, seorang muslim digalakkan untuk berurusan dengan mereka dengan panggilan yang baik bagi memastikan ia tidak mendatangkan fitnah kepada Islam itu sendiri. Rasulullah menyantuni kaum musyrikin dan dalam masa yang sama bertegas atas kekufuran mereka.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM