DUNIA kini berubah dengan terlalu pantas seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini dan keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan ketara kepada pembangunan sahsiah serta rohani anak-anak terutamanya dalam menghayati dan mendekatkan diri dengan al-Quran.
Menyedari hakikat itu, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) mengambil inisiatif menganjurkan program Celik Al-Quran dalam usaha mendekatkan golongan muda dengan al-Quran.
Pengurus Seksyen Anak Angkat YPM, Mat Zailani Mat Nawawi berkata, program yang dimulakan pada 2019 itu menjadi keutamaan YPM untuk tingkatkan kemahiran dan kelancaran bacaan serta membina budaya membaca al-Quran dalam kalangan anak-anak.
“Pada peringkat permulaan program ini memberi penekanan kepada pengenalan dan asas membaca al-Quran. Seterusnya penekanan terhadap kemahiran dan kelancaran bacaan termasuk hukum tajwid dalam bacaan,” katanya.
Beliau berkata, YPM turut mengambil inisiatif mendekati anak-anak yang mungkin tidak berkesempatan atau berpeluang mengikuti selain Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Iqra yang sedia ada melalui program Celik Al-Quran.
Percuma untuk B40
Mat Zailani berkata, sebagai permulaan, program Celik Al-Quran menyasarkan seramai 20 peserta sekolah rendah dan menengah yang tidak lancar membaca al-Quran di setiap lokasi yang terpilih.
“Program ini mendapat kerjasama sepenuhnya masjid dan surau di lokasi tersebut. YPM turut berhasrat mendapatkan khidmat nasihat daripada tokoh atau individu yang terlibat dengan pembelajaran dan pengajian al-Quran sebagai mentor,” katanya.
Beliau berkata, mentor berperanan sebagai penasihat dalam pelaksanaan Celik Al-Quran supaya memberikan impak yang lebih berkesan kepada setiap peserta dan secara tidak langsung akan menjadikan program ini lebih berdaya maju dalam usaha memupuk cinta kepada al-Quran dalam kalangan generasi muda.
“Budaya membaca al-Quran haruslah dipupuk secara konsisten semenjak usia kanak-kanak, remaja hinggalah ke alam dewasa. Amalan sentiasa meningkatkan keupayaan mendalami al-Quran juga memberikan banyak fadilat dan kelebihan dalam kehidupan setiap dari kita,” katanya.
Azizah dan Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin serta Mat Zailani bersama peserta progam Celik Al-Quran di Masjid Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah baru-baru ini.
Program Celik Al-Quran diadakan secara percuma untuk pelajar-pelajar miskin bandar dan luar bandar (golongan B40).
Mat Zailani berkata, program itu juga merupakan salah satu inisiatif YPM bagi melengkapkan program-program pengajaran dan pembelajaran yang disediakan serta dilaksanakan oleh kerajaan.
Katanya, selain dari dianjurkan secara percuma, Celik Al-Quran dilaksanakan di pusat-pusat yang berhampiran dengan kediaman peserta untuk memudahkan mereka mengikuti setiap sesi yang dijalankan.
Menurutnya, sebagai faedah tambahan, peserta juga diasuh untuk sentiasa mendekati surau atau masjid yang bertindak sebagai pusat Celik Al-Quran dan matlamat serampang dua mata sebegitu diharapkan dapat membentuk jiwa yang sentiasa bersyukur serta tawaduk dengan nikmat yang diperoleh.
Dalam pada itu katanya, pada tahun 2019, program Celik Al-Quran dilaksanakan sebagai projek rintis di Surau Assa’adah, Bayan Lepas, Pulau Pinang; Masjid Abdul Salam Al Mas’ud, Teluk Intan di Perak; Surau Al-Qamar, Bukit Beruang di Melaka; Taman Al-Quran Rembau, Negeri Sembilan dan Surau Al-Hidayah, Keramat, Selangor dengan melibatkan 100 orang pelajar.
“Pelaksanaan program rintis ini mendapat sambutan peserta yang hadir dan penglibatan yang baik daripada jawatankuasa masjid dan surau terlibat.
“Ada juga masjid-masjid dan surau-surau kariah yang tidak terlibat turut menyertai program ini kerana objektif pelaksanaannya menarik minat peserta kariah lain,” katanya.
Mat Zailani berkata, pada tahun ini Celik Al-Quran mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bersama-sama YPM dalam menggembleng usaha menggapai objektif program itu.
Katanya, Maybank Islamic Berhad merupakan syarikat korporat pertama yang bersetuju untuk bersama-sama YPM dengan menaja sebanyak 28 pusat Celik Al-Quran di seluruh negara yang melibatkan seramai 500 orang peserta dengan nilai penajaan berjumlah RM140,000.
Beliau berkata, kesemua peserta berkenaan akan ditaja sepenuhnya oleh pihak Maybank Islamic Berhad sepanjang kelas Celik Al-Quran berlangsung.
Sementara itu katanya, bermula bulan ini, Beaufort menjadi daerah pertama di Sabah yang dipilih oleh YPM untuk melaksanakan Celik Al-Quran pada tahun ini dan dua buah masjid telah dikenal pasti sebagai pusat untuk pelaksanaannya dengan melibatkan 91 orang peserta.
“Masjid berkenaan adalah Masjid Kampung Limbawang, Beaufort dengan jumlah peserta 51 orang dan Masjid Nur Ehsan, Kuala Penyu, Menumbok pula seramai 40 orang peserta.
“Pelaksanaan program ini di negeri Sabah turut mendapat sambutan yang baik daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun,” katanya.
Teruja
Menurutnya, Azizah telah merasmikan program itu pada 6 September lalu di Masjid Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah dan beliau amat teruja dan berpuas hati dengan pendekatan YPM dalam usaha membantu anak-anak Melayu di kawasan pedalaman Sabah untuk mendekatkan diri dengan pembelajaran al-Quran.
Katanya, Azizah juga berharap pelaksanaan program itu bukan hanya di daerah-daerah negeri Sabah tetapi akan dikembangkan ke seluruh negara dan berharap syarikat-syarikat korporat serta GLC dapat bersama-sama dengan YPM dalam usaha untuk membantu anak-anak terutamanya dalam kalangan B40 miskin luar bandar dan bandar.
Justeru katanya, berdasarkan sambutan pelaksanaan Celik Al-Quran pada tahun 2019 dan 2020, YPM mahu menambah bilangan pusat dan sasaran peserta pada tahun hadapan iaitu sebanyak 50 buah pusat dengan penglibatan 1,000 orang peserta.
“Bagi mencapai objektif ini, YPM mengalu-alukan penglibatan syarikat-korporat dan GLC untuk bersama YPM melaksanakan program CSR ini,” katanya – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)