JERUSALEM – Rejim Israel menutup akaun bank institusi Arab yang beroperasi di Jerusalem dalam usaha jahat mereka memaksa warga Palestin keluar dari bandar ini, kata Jabatan Hal Ehwal Jerusalem.
Dalam satu kenyataan media, institusi Arab berkata, langkah rejim Zionis terhadap institusi sosial, kebudayaan, pendidikan, bantuan kemanusiaan, perumahan, undang-undang atau kejuruteraan adalah tindakan politik serta seiring dengan dasar Tel Aviv menghukum orang awam Palestin secara kolektif bertujuan menyahudikan bandar itu.
Pertubuhan itu dimaklumkan secara lisan sejak tujuh bulan lalu bahawa akaun mereka boleh ditutup, tetapi tiada kertas kerja dikeluarkan bagi mengesahkannya, kata Pengarah Pusat Kebudayaan Yabous, Rania Elias kepada Quds Press.
“Pihak bank menentukan jumlah wang untuk kami simpan dan sudah tentu kami mematuhinya. Pihak bank juga diberitahu sumber wang itu dan inilah apa yang kami lakukan.
“Sejak peraturan itu dikuatkuasakan lebih sebulan lalu, kami mengendalikan isu itu dari sudut undang-undang selain mengupah peguam untuk memantau isu berkenaan dan bertindak jika ada keperluan bagi menghalang penutupan akaun tanpa sebab,” katanya.
Bagaimanapun, usaha itu sia-sia apabila bank Israel menolak pemindahan dana dari Kesatuan Eropah tanpa sebab.
Semua institusi Arab yang menerima kesan daripada penutupan akaun itu menegaskan operasi mereka adalah sah, bertepatan dengan tujuan dan misi penubuhan, membayar cukai selain mengupah juruaudit Israel untuk memastikan operasi mereka tidak melanggar undang-undang.
Sementara itu, Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel mendesak Kementerian Pertahanan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Briged Al-Qassam bagi membebaskan askar Israel yang ditahan sebagai penjenayah perang, lapor agensi berita Sama.
Ariel berkata, sejak Avigdor Lieberman menjadi Menteri Pertahanan, pesawat tentera Israel tidak pernah menyasarkan warga Palestin. – Ismaweb